MamaCare: Lahirkan terapi wanita profesional

Kuala Lumpur : Permintaan tinggi terhadap Program Penjagaan Selepas Bersalin mendorong Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) membuka sebuah pusat latihan bertauliah MamaCare, tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), LPPKN, Abdul Shukur Abdullah, berkata pusat latihan bertauliah dengan kemudahan infrastruktur lengkap itu akan ditetapkan itu akan ditempatkan di Institut Sosial Malaysia (ISM) dan pengambilan bermula Jun ini.

Katanya, modul pembelajaran akan menggunakan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) untuk melayakkan mereka mendapat Diploma Kemahiran Malaysia 4, seterusnya menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Bagi permulaan, LPPKN menyasarkan kira-kira 500 ahli MamaCare yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia 3 (SKM3) dan ke atas untuk membantu mereka meluaskan lagi perkhidmatan dan menjana pendapatan lebih.

“Orang ramai yang mempunyai SKM3 terutama dalam bidang terapi dan urutan turut dipelawa mengikuti program dalam tempoh setahun,” katanya.

Diploma Kemahiran Malaysia 4 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia diwujudkan hasil inisiatif LPPKN untuk melatih wanita khususnya menjadi usahawan bertauliah.

Menerusi perkhidmatan lengkap diberikan, LPPKN menganggarkan usahawan wanita boleh menjana pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan bergantung kepada tahap kerajinan mereka.

Beliau berkata, sambutan terhadap perkhidmatan penjagaan bayi, selepas berpantang dan urutan tradisional adalah antara pakej yang sering mendapat permintaan memandangkan kesukaran mencari individu berpengalaman.

“Justeru, apabila program ini diperluaskan bawah LPPKN, secara tidak langsung ahli MamaCare yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan akan menjadi ‘mata dan telinga’ bagi menyampaikan mesej serta membantu individu berdepan masalah emosi dan sebagainya,”katanya.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*